:: A|-C@pac|nO ::

Perkongsian Seorang Aku | Apalah ertinya penulisan kalau x d baca, Apalah ertinya ilmu kalau x dikongsi..

Tuesday, December 27, 2011

Membina Nilai Iman Pada Jiwa Anak

Pendidikan Iman pada anak-anak seharusnya dimulakan pada tahap umur yang seawal mungkin. Tentu pendekatannya berbeza mengikut umur. Saya sering memasukkan semua ini dalam perbualan harian. Misalnya ketika makan, ketika musafir, ketika kehilangan barang atau musibah dan sebagainya. Dalam semua situasi ini anak-anak perlu tahu dan merasai betapa Allahlah penentu segala-galanya. Allah lah yang menyediakan rezeki untuk hambaNya, menjadikan alam yang indah terbentang dan mengatur jalan hidup kita.

Tidak setakat itu saja, anak-anak perlu dihubungkan dengan keredhaan dan kemurkaan Allah SWT, kesabaran dan kesyukuran dan sebagainya supaya anak-anak dapat berfikir dan merasai setiap sesuatu diatas nilai Iman. Persoalan Redha dan Murka Allah seharusnya menjadi agenda besar dalam jiwa mereka.

Beberapa hari lepas ketika saya dan anak-anak menonton cerita Ali Baba Bujang Lapok yang saya download dari youtube, anak saya yang baru 6 tahun memberi respon yang menyebabkan kami seisi keluarga ketawa. Ketika penyamun (P. Ramlee) mati dalam keadaan tersenyum, Ali Baba bertanya "Kenapa ante tersenyum?" Lalu Penyamun itu menjawab "Ana mati dalam iman". Ketika itu sambil menggeleng kepaalanya anak saya berkata "Tak patut dia mati dalam iman" "Kenapa Chik (Panggilan mesra untuk anak saya yang ketiga: Usamah)?". Jawabnya dengan wajah tak puas hati "Dia kan penyamun, mana boleh mati dalam iman".

Jiwa mereka perlu melalui jalan-jalan yang akan membangunkan nilai-nilai ini. Antaranya:

Didikan Iman.

Adanya didikan iman secara formal dan informal, langsung atau tidak langsung. Samada dalam perbualan harian atau dalam sesi yang khusus membincangkan tentang sifat, kebesaran dan keagungan Allah SWT. Hubungkan mereka dengan asma'-asma' Allah disamping penjelasan yang sesuai dengan umur mereka.

Anak-anak seharusnya dapat merasai keseriusan ibubapa dalam hal ini bahkan ianya bukan agenda tempelan atau sekadar memenuhi masa lapang (bila ada masa). Harus ada saat-saat seluruh isi rumah duduk berbincang dan berkongsi cerita tentang hakikat ini. Harus juga dalam setiap insiden dalam kehidupan harian diketengahkan peranan dan pergantungan dengan Allah SWT.

Contoh Yang Tinggi

Anak-anak perlu dihubungkan dengan contoh-contoh keimanan yang mulia dan tinggi disisi Allah SWT. Berceritalah tentang keindahan budi Rasulullah SAW, kasih sayangnya pada umat, perjuangan dan pengorbanannya. Juga hubungkan anak-anak kita kepada Nabi-Nabi terdahulu AS, Para Sahabat RA, Ulamak-Ulamak dan Pejuang-Pejuang Islam. Biar anak-anak kita berangan-angan untuk jadi segagah Umar RA, Khalid al Walid RA atau sebijak Ali RA. Jangan biarkan anak-anak kita meng'idola'kan Power Rangers, Doraemon, Naruto dan lain-lain.

Contoh Amali

Ibubapa seharusnya menjadi contoh amali kepada pendidikan iman ini. Akhlaq, sikap dan ketenangan yang kita pamerkan seharusnya menggambarkan keimanan kita kepada Allah SWT; janji-janji dan ancaman-ancamanNya. Tidak seharusnya ibubapa melalikan ibadah, bercakap dengan bahasa yang kasar dan tidak berakhlaq, marah membuta tuli atau berleter meleret-leret.

Merawat Ke'aiban dan Membangunkan potensi

Setiap anak tentu mempunyai kelemahan dan kekuatan masing-masing. Ibubapa perlu memerhati dan cuba memahami anak-anak mereka sehingga segala keburukan atau ke'aiban dapat dirawat dan potensi yang ada dapat dibangunkan. Contohnya anak-anak saya; walaupun 4 orang sahaja tetapi berbagai sikap dan karenah. Anak saya yang sulung (10 tahun) lasak, survival (boleh masak sendiri bila lapar), Pandai ambil hati (pandai juga ambil kesempatan), sensitif jiwanya tapi sedikit malas, suka bertangguh dan pandai bermuslihat. Anak saya yang kedua (9 tahun) pula rajin, boleh diharap untuk jaga adik-adik tetapi panas baran. Yang ketiga pula degil tetapi pemikir yang baik, fokus tinggi ketika belajar dll. Yang keempat baru 4 tahun, hafalannya tinggi, pandai bercakap tetapi cepat merajuk. Semua ini perlu kita kenali dan kita corakkan mengikut kehendak Islam.

Penyertaan Berfikir

Anak-anak juga perlu diajak berfikir dalam membuat keputusan-keputusan keluarga. Sekurang-kurangnya mereka ada ruang untuk memberi pandangan walaupun tidak logik dan pandangan mereka itu didengari dan dihargai. Biar mereka merasai kebersamaan dalam melayarkan rumahtangga. Perkongsian ini kadang-kadang mempercepatkan kematangan mereka hinggakan kadang-kadang kita akan terkejut dengan idea dan pandangan mereka.

Mungkin itulah sedikit yang dapat saya kongsikan. Semoga bermanfaat.



sumber dari Abu Umar
0 Comments
Comments

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meberikan komen anda disini