:: A|-C@pac|nO ::

Perkongsian Seorang Aku | Apalah ertinya penulisan kalau x d baca, Apalah ertinya ilmu kalau x dikongsi..

Monday, January 30, 2012

“Usah terlalu rapat dengan orang yang senang, sebab senang belum bermakna tenang”

Artikel ini dikongsi oleh



Kita selalu tertipu dalam keadaan kita tidak sangka akan tertipu. Orang jahat tidak pernah memilih orang jahat untuk ditipunya tetapi dia memilih orang baik. Orang baik pula oleh terlalu baik selalu tertipu akibat terlalu sangka baik.

Selalunya orang yang berniat jahat akan mempamerkan wajah baik untuk memperdaya orang baik. Pada zaman kini terlalu kurang si jahat yang memiliki wajah jahat. Maka itu peratus orang baik yang terpedaya oleh orang jahat semakin ramai.

Suatu hari seseorang berkata, dia tawakal dengan untanya yang dibiarkan lepas sewaktu bertemu Rasulullah s.a.w. Dia sangka semua orang baik sepertinya. Tidak mungkin unta itu akan hilang dikebas orang. Tetapi apabila Rasulullah s.a.w. mengetahuinya, baginda menyuruh orang itu menambat untanya dahulu kemudian barulah bertawakal.

Bermakna tidak boleh terlalu sangka baik, ada kalanya perlu juga berasa curiga dan bersikap hati-hati meskipun di kalangan orang yang boleh dipercayai. Kadang-kadang apabila terlalu percaya di situlah musibah akan tiba.

Tatkala berhutang atau memberi hutang, tuliskanlah untuk jadi peringatan. Kalau terlalu percaya ada kemungkinan hutang itu tidak akan dibayar. Menuliskannya bukan bererti tidak percaya tetapi sebagai peringatan pada saat-saat lupa.

Terlalu percaya samalah macam istilah lurus bendul. Terlalu lurus selalunya menjadi mangsa pada jenaka manusia. Kadangkala kena ada juga rasa curiga. Curiga untuk beringat bukan curiga untuk berburuk sangka.

Seseorang berkata kepada kawannya, “Mat, tak guna simpan duit banyak-banyak. Bila kiamat satu apa pun tak guna lagi. Lebih baik engkau belanjakan duit itu. Kiamat datang tiba-tiba. Nanti tak sempat engkau belanjakan semua harta. Penat saja bekerja siang malam selama ini.”

Betul juga, fikir Mat. Maka dia membelanjakan semua wangnya. Mat akan berakhir sebagai seorang yang muflis. Kena ada rasa curiga dan tidak boleh terlalu lurus untuk menikmati hidup yang selesa. Manusia ada pelbagai ragam dan gaya. Sesetengahnya memang mencari kesempatan pada kedunguan orang lain.

Mat sepatutnya berfikir begini, bekerjalah engkau seolah-olah engkau akan hidup seribu tahun lagi dan beribadahlah engkau seolah-olah engkau akan mati esok hari.

Kata orang tua-tua, kalau melihat air tenang usah disangka tak ada buaya. Sememangnya buaya tinggal dalam sungai yang berarus tenang. Pergerakan buaya juga penuh ketenangan. Kalau ia berehat di tebing sungai, ia bagaikan batang kayu mati – cukup tenang dan cukup baik. Namun, usah leka, sebab ekornya boleh melibas tiba-tiba. Di dalam air buaya boleh muncul di bawah air yang tenang, di daratan juga buaya boleh menyerang walaupun kelihatannya sudah mati.

Orang jahat tidak pernah memilih orang jahat untuk dijadikan mangsa. Maka jika anda baik, waspada selalu sebab anda sentiasa terdedah pada onarnya si jahat. Jika anda jahat, ketahuilah kawan-kawan anda juga jahat dan ukurlah kejahatan anda mengikut apa yang mereka lakukan.

Usah terlalu rapat dengan orang yang senang, sebab senang belum bermakna tenang. Orang tenang biasanya berilmu, orang tenang biasanya warak, orang tenang biasanya lunak, maka dekatilah dia.
0 Comments
Comments

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meberikan komen anda disini