:: A|-C@pac|nO ::

Perkongsian Seorang Aku | Apalah ertinya penulisan kalau x d baca, Apalah ertinya ilmu kalau x dikongsi..

Thursday, February 23, 2012

Berjalan Andai Tak Mampu Berlari..



Suatu hari ana didatangi oleh seorang sahabat, sambil marah-marah dia cakap:

“Yang paling labuh tu la yang paling buruk perangai!”

Tergamam dibuatnya. The rest is history…
Sedikit terkilan dengan apa yang berlaku sehingga sang sahabat mengeluarkan kenyataan yang sedemikian. Lebih-lebih lagi kenyataan itu didengari ramai dan secara tak langsung menjadi bahan perlian.
Persoalan yang berlaku di sini, apakah puncanya hingga jadi macam ni?
Mari analisa bersama. Teori yang dikemukakan oleh Albert Mehrabian mengatakan bahawa, pakaian memainkan peranan dalam mengubah persepsi manusia. Dalam konteks ini, kebiasaannya mereka yang membawa imej Islam (berkopiah, berserban, bertudung labuh, berniqab dan sebagainya) merupakan orang yang baik, soleh, solehah, boleh dipercayai dan sebagainya.
Buktinya, lihatlah keadaan sekeliling, jika ada yang berkopiah akan dianggap ‘ustaz’ dan tak kurang juga label yang diberikan pada kaum hawa dengan panggilan ‘ustazah’. Walaubagaimanapun, ini hanyalah teori yang dihasilkan melalui pemerhatian dan pemikiran manusia yang sangat terhad.
Ia disebut sebagai ‘maklumat’ sedangkan Islam mengajar umatnya untuk berfikir dan memerhati dengan menghubungkaitkan dengan syariat melalui al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber primier. Itulah yang dinamakan dengan ‘ilmu’. Bersepadu. Ilmu dan maklumat sesuatu yang berbeza.
 Cukup dengan selingan, Rasulullah ada bersabda yang bermaksud:
Sesugguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya, dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluuh tubuhnya dan ketahuilah bahawa dialah HATI. ( Riwayat Bukhari dan Muslim )
Sabda Baginda inilah yang telah mematahkan hujah dan teori yang pelbagai. Seseorang yang berkopiah dan bertudung labuh tidak semestinya baik. Semuanya bergantung pada hati. Baik hatinya, baiklah akhlaknya. Baik akhlaknya, baiklah penampilannya. Sesungguhnya hati merupakan cerminan iman.
 Bila bersembang dengan beberapa sahabat, dapatlah ana simpulkan apa yang berlaku mungkin berpunca disebabkan ingin berubah dengan cara yang extreme .
 Falsafah yang ingin ana kongsikan,
 Jika tak mampu berlari, cukuplah dengan berjalan. Asalkan tarbiyyah terus berjalan.
 Tarbiyyah itu halus seninya. Memerlukan sentuhan yang sangat lembut. Ibarat tarik rambut dalam tepung, tepung tak selerak, rambut tak putus. Barulah sempurna.
 Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Percayalah, nak berubah perlukan sentuhan yang halus berseni supaya ianya selari dengan perubahan yang dilakukan. Pengalaman mendewasakan kehidupan.
 Tak perlu pun nak terburu-buru dalam mengejar perubahan. Bukankah terburu-buru itu cebisan jahiliah?
Ya, ana faham hasrat hati ingin melihat kejayaan dalam perubahan. Takut tak sempat dan sebagainya. Teringat ana dengan bait mutiara dari as-Sayyid Syed Qutb:
 ”Jika aku ingin melihat perjuangan ini berjaya, nescaya aku tidak akan hidup pada hari ini.”
 Mengapa tidak mengambil pengajaran dari sirah Rasulullah? Kaum kafir Quraisyh begitu gentar dengan semangat jihad dalam diri para sahabat ketika di medan perang. Antara MENANG atau SYAHID. Ini yang menjadikan semangat jihad mereka marak menyala.
 Fenomena sekarang?
Menyaksikan mereka begitu semangat untuk menang tetapi terlupa akan syahid. Implikasinya, perjuangan semakin marak menyala hingga membakar diri! Tiada kualiti dalam proses pengislahan diri. Akhirnya menjadi fitnah pada diri, pada sahabat, dan paling penting pada agama. Nauzubillah min zalik!
 Syukur Allah telah lembutkan hati kita untuk berubah menjadi lebih baik. Mulakan langkah pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Tak perlu terburu-buru. Cukuplah sekadar yang termampu. Susunlah mutabaah amal dengan sebaiknya. Upgrade dari masa ke semasa. InsyaAllah perubahan itu mampu berlaku.
 Lembutkan hati dengan renjisan zikrullah dan kalamullah. Hati bersih, akhlak pun cantik.
 Apabila iman sudah boleh berbicara, mudahlah untuk melakukan perubahan demi perubahan. Jangan risau andai tak sempat temui kejayaan. Syahid telahpun tersedia untuk anda.
Terdapat seorang sahabat (asif lupa namanya), ketika permulaan Islam, dia ternampak Rasulullah sedang sujud bersama Saidatina Khadijah dan Saidina Ali. Dia bertanyakan pada (sahabat), siapakah yang sedang sujud?
Sahabat tersebut menjawab itulah Rasulullah dan keluarganya. Sujud Rasulullah itu diperlekehkan.
Akhirnya semasa Fathul Makkah, dia menerima Islam. Di hadapan Rasulullah dia menangis. Rasulullah menjelaskan bahawa segala dosa diampunkan selepas mengucap syahadah.
Lalu sahabat ini berkata “aku menangis bukan kerana dosa-dosaku, seandainya aku menerima Islam saat aku melihat engkau sujud dulu, nescaya aku menjadi orang keempat atau kelima”
Islam bermula dengan seorang. Lama kelamaan semakin berkembang dan akhirnya menjadi antara agama terbesar dunia. Ingin mewujudkan Islam di tempat jahiliah? Mulakan dengan diri kita iaitu lakukan perubahan. Generasi awal umat Islam mendapat didikan tarbiyyah selama 13 tahun di Makkah. Bukannya 13 hari, bukannya 13 bulan.
Sebagai konklusi yang dapat ana simpulkan di sini. Apabila seseorang individu itu telah bersetuju untuk ditarbiyyah, dia telah memikul satu tanggungjawab yang sangat berat. Pikullah ia dengan tenang, berjalan andai tak mampu berlari. Wallahua’lam

Artikel ini dikirim oleh pembaca akuislam.com, Iqram Al-Mujahid, Tawau, Sabah


Artikel ini dikongsi oleh
0 Comments
Comments

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meberikan komen anda disini