:: A|-C@pac|nO ::

Perkongsian Seorang Aku | Apalah ertinya penulisan kalau x d baca, Apalah ertinya ilmu kalau x dikongsi..

Thursday, December 8, 2011

Luahan Seorang Andartu



Saudara Awang Selamat,


Saya terpanggil untuk memberi respons kepada polemik yang tercetus mengenai kenapa golongan profesional seperti saya memilih untuk hidup membujang.


Sebenarnya, walau pahit untuk ditelan, bagi saya, semua wanita normal mempunyai naluri untuk berkahwin. Walau sehebat mana mereka mahu melawan perasaan itu, saya yakin, jauh di sudut hati, setiap wanita mahu digelar isteri dan ibu.


Seribu satu macam alasan boleh diberikan. Saya sendiri sering meletakkan standard yang tinggi dalam mencari teman hidup. Bukan tidak pernah saya cuba menjalin hubungan yang serius, tetapi malangnya, ia tidak menjadi.


Bila direnung kembali, saya dapati punca utama ialah kerana saya terlalu mengimpikan kesempurnaan, sedangkan saya sendiri tidak memiliki kesempurnaan itu.


Saya ada rumah, ada kereta, ada jawatan. Saya tidak mahu lelaki itu hanya `basuh kaki' apabila berkahwin dengan saya.


Saya rasa ramai antara golongan yang kononnya profesional secara sedar atau tidak, mempunyai fobia sebegini - takut dengan bayang-bayang sendiri.


Takut dikikis lelaki, takut akan menyusahkan hidup, takut terpaksa berhabis duit untuk lelaki, takut segala-galanya.


Soal perkahwinan yang merupakan perkongsian jiwa dan hidup antara lelaki dan wanita terlepas pandang.


Saya sendiri tidak mahu memikirkan soal untuk sama-sama berkongsi susah senang kerana bagi saya, saya sudah melepasi kesusahan itu. Kenapa perlu saya menghadapinya lagi?


Walaupun berat untuk mengakui, biarlah saya berterus terang, bagi saya, semuanya kerana saya yang sentiasa merasakan diri saya yang terbaik. Lelaki yang tidak boleh mencapai tahap seperti saya, hanya dipandang sebelah mata.


Tetapi apabila usia mulai lanjut, saya mula berfikir betapa saya terlalu mementingkan diri sendiri.


Bagi saya, walau secemerlang mana pun seorang wanita, dia tidak boleh membohongi naluri kewanitaannya yang mahu dibelai dan disayangi.


Saya sendiri mempunyai segala-galanya, tetapi sekarang saya semakin sedar, kebahagiaan dan kejayaan itu tidak akan memberi makna apa-apa jika kita tidak dapat berkongsi dengan orang yang kita sayangi.


Kepada wanita di luar sana dan juga kepada diri saya sendiri, saya ingin ingatkan, walau setinggi mana kedudukan, kita masih memerlukan lelaki dalam hidup kita.


Ia bukan tentang seks, tapi tentang melengkapkan jiwa yang kosong, tentang kasih sayang.


Mereka yang melangkah ke alam perkahwinan, sebenarnya, adalah mereka yang berani dan perlu dihormati


NotaSurat Seorang Wanita ini dipetik drp Rencana Pengarang Mingguan Malaysia bertarikh 6 Julai 2003. Hakcipta rencana ini ialah hak milik Utusan Melayu (M) Berhad

Artikel ini dikongsi oleh
0 Comments
Comments

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meberikan komen anda disini