:: A|-C@pac|nO ::

Perkongsian Seorang Aku | Apalah ertinya penulisan kalau x d baca, Apalah ertinya ilmu kalau x dikongsi..

Wednesday, December 28, 2011

"RUMAHKU SYURGAKU"


KONSEP DAN FALSAFAH ‘RUMAHKU SYURGAKU’
Konsep dan falsafah bagi mencapai matlamat rancangan ‘RUMAHKU SYURGAKU’ ini adalah berasaskan kepada syariat Islam yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Diantara aspek-aspek yang ditekankan dalam rancangan ini ialah membina kebahagiaan, meningkatkan daya intelek, mewujudkan suasana penghayatan Islam dan kedamaian dalam keluarga, penjagaan kesihatan, mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumah, mengamalkan perhubungan yang baik dan berkesan serta membina sifat penyayang dan toleransi di kalangan anggota keluarga.
Huraian Konsep Dan Falsafah ‘Rumahku Syurgaku’
 1. Membina Kebahagiaan
Kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa senang, suka dan gembira melalui raut wajah dan tingkah lakunya. Nilai kebahagiaan itu tidak mungkin dapat diagihkan kepada orang lain. Hadith Rasulullah s.a.w. sangat tepat membayangkan betapa bahagia itu perlu dalam hidup setiap insan.
Diriwayatkan daripada An-Nu’man bin Basyir, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan, Ingatlah ia adalah hati".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
 Antara cara untuk mencapai kebahagiaan ialah seperti berikut:
(a) Niat Yang Baik
(b) Perbuatan Yang Baik
 2. Membina Intelek dan Meningkatkan Ilmu Pengetahuan
 Hidup dalam erti kata seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran, ayat 77 surah al-Qasas, ialah untuk tidak melupakan nasib di dunia. Untuk tidak mengabaikan urusan memperjuangkan nasib di dunia ini setiap umat Islam mestilah mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan daya intelek masing-masing. Dengan ketinggian ilmu pengetahuan dan daya intelek itulah mereka dapat menjangkau pelbagai keperluan, melepasi segala halangan dan rintangan dan mencapai ketinggian darjat selayak dengan cita-cita Islam sebagai agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Ketinggian Islam tidak memberi erti kalau kehidupan umatnya tanpa kualiti.
Ilmu pengetahuan mempunyai tiga kepentingan utama. Pertama; Membentuk peribadi muslim supaya dapat menjalani suruhan agama dengan sewajarnya. Kedua; Membentuk sebuah umat yang kuat. Ketiga: Mempertahankan kesucian dan ketinggian agama Islam. Sekiranya umat Islam tidak mempunyai ilmu pengetahuan, kesucian dan ketinggian agama Islam akan terjejas.
 3. Mewujudkan Suasana Penghayatan Islam Dan Kedamaian Dalam Keluarga
Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula dari rumah. Untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga maka aktiviti-aktiviti erikut adalah menjadi asas utama di dalam pembentukan rumahtangga.
(a) Menghidupkan Sembahyang Berjemaah
(b) Membaca al-Quran Bersama Di rumah
(c) Membaca Buku Agama Di Rumah Beramai-ramai
(d) Makan Bersama Sekeluarga
(e) Memberi Salam Semasa Masuk Atau Meninggalkan Rumah
(f) Minta Keizinan Masuk Bilik

4.  Mengekalkan Kedamaian Dan Kerukunan Rumahtangga
 Rumahtangga bahagia ialah rumahtangga yang wujud unsur-unsur kedamaian dan keselesaan. Suami sebagai ketua keluarga adalah berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya melalui kehidupan yang diredhai Allah dengan memberi didikan agama dan menyemadikan niali-nilai murni kepada mereka.
 Antara unsur-unsur kedamaian di dalam rumahtangga ialah:
(a) Tolong Menolong dan Bantu Membantu Dalam Keluarga
(b) Hubungan Kejiranan Yang Baik
(c) Menunaikan Tuntutan Fardhu Kifayah
(d) Mengadakan Aktiviti Rekreasi

5. Menjaga Kesihatan dan Kebersihan Keluarga
 Kebahagiaan rumahtangga tidak akan tercapai jika sekiranya terdapat ahli-ahli keluarga sering mengidapi penyakit. Ibu atau bapa yang tidak sihat tidak dapat menguruskan rumahtangga dengan sempurna. Manakala anak-anak yang sakit pula tidak dapat membesar dan berkembang dengan baik.
 Oleh kerana kesihatan tubuh badan menjadi soal penting dalam hidup seseorang dan memerangi penyakit adalah satu tugas yang wajib di dalam Islam, maka Islam telah menggariskan beberapa panduan yang berkaitan dengan kesihatan seperti berikut;
(a) Makan Makanan Yang Halal
(b) Makan Makanan Yang Bermutu Dan Berkhasiat
(c) Elakkan Makan Makanan Yang Tidak Bersih
(d) Makan Secara Berlebihan Akan Memudaratkan kesihatan
(e) Mencegah Penyakit
(f) Menjaga Kebersihan Diri

6. Mengukuh dan Menjaga Ekonomi Rumahtangga
 Sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa wang dan harta adalah satu keperluan dalam kehidupan rumahtangga, lebih-lebih lagi apabila menghadapi zaman yang serba mencabar ini. Pada hari ini boleh dikatakan hampir keseluruhan keperluan hidup memerlukan wang. Oleh sebab itulah Islam menyuruh umatnya supaya kuat bekerja mencari wang dan harta, membina kehidupan yang maju dan kuat supaya dunia ini dipenuhi dengan kemakmuran.
 7. Mewujudkan Keselesaan Dan Keindahan Dalam Rumahtangga
 Rumah adalah tempat sesebuah keluarga menikmati hidup. Keselesaan dalam rumah amat mustahak kerana kebahagiaan keluarga itu bermula dari rumah. Setiap keluarga mestikah mewujudkan suasana yang harmoni dan selesa dalam rumahnya. Maksud keselesaan di sini ialah keselesaan yang memungkinkan setiap anggota keluarga mempunyai bilik tidur yang cukup, ruang rehat yang selesa, mempunyai sistem peredaran dan pertukaran udara di setiap ruang rumah dan lain-lain keperluan seperti ruang dapur, tandas dan sebagainya.
 Sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya: “Daripada Saad r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu Wanita yang baik (solehah), tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik.”
(Riwayat al-Baihaqi)
 Untuk mencapai kebahagiaan bagi sesebuah institusi keluarga dan seterusnya menjadikan rumahtangga itu sebagai syurga perlulah menghayati prinsip-prinsip yang telah ditentukan oleh Islam seperti berikut:
(a) Sentiasa Menjaga Keindahan Dan kebersihan Dalam dan Luar Rumah
(b) Menghiasi Rumah Dengan Peralatan Dan Perhiasan Yang Diredhai Allah S.W.T.

8. Berkomunikasi Secara Baik
 Hubungan antara individu dalam keluarga adalah penting untuk menjamin keharmonian di dalam rumahtangga. Aspek hubungan antara individu atau komunikasi ini amat dititik beratkan oleh Islam. Firman Allah S.W.T. dalam surah Ali Imran ayat 122:
 Maksudnya: “Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia…"

9.  Mewujudkan Pergaulan Suami isteri Yang Baik
Kasih sayang dan toleransi dalam keluarga adalah penting. Kedua-dua elemen ini perlu diwujud dan disuburkan dalam sesebuah keluarga bagi melahirkan kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan.
Pembentukan keluarga bermula dengan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri. Suami dan isteri perlulah meletakkan aspek kasih sayang dan belas kasihan, sebagai asas dalam kehidupan berumahtangga. Tanpa kasih sayang dan belas kasihan, sesuatu ikatan perkahwinan itu tidak menuju ke istana bahagia seperti yang diharapkan, malah ia akan mengubah haluan kepada kehancuran.
 Firman Allah di dalam al-Quran, surah ar-Rum ayat 21, iaitu:
Maksudnya: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

10. Mewujudkan Hubungan Baik Ibu Bapa Dengan Anak
 Apabila perhubungan antara ibu dan bapa dapat di bentuk dalam keadaan “ma’ruf” (baik) maka benih kasih sayang pasti akan bertunas dan bercambah ke dalam ahli keluarganya. Anak-anak yang melihat canaian kasih sayang antara ibu dan bapa mereka akan turut sama mengamali dan menikmati kemanisan serta kelazatan suasana itu. Justeru itu menjadikan ibu bapa mereka sebagai model dalam jiwa dan kehidupan mereka sendiri.
 11. Mewujudkan Hubungan Baik Anak Dengan Ibu Bapa
 Anak wajib berbuat baik terhadap ibu bapanya. Sekiranya tidak, ia telah melakukan satu dosa. Di dalam al-Quran tidak terdapat perintah khusus agar seseorang bapa mengasihi anaknya, tetapi sebaliknya yang lebih banyak ialah perintah kepada anak supaya mengasihi ibu bapa. Sebab yang demikian ialah, walaupun tidak diperintah untuk mengasihi anak, secara otomatis ibu bapa tentu mengasihi anaknya. Seorang bapa, apatah lagi ibu, amat sayang kepada anaknya sehingga ia sanggup berkorban apa saja demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya. Ia sanggup bersusah payah bekerja siang dan malam, menggerakkan segala usaha dan tenaga, dimana semuanya itu adalah untuk kebahagiaan anaknya. Maka wajarlah anak berbuat baik terhadap ibu bapa.
 Mungkin seorang anak akan bertanya, bagaimana ia harus berbuat baik terhadap ibu bapanya. Dalam hal ini Imam Ghazali telah menggariskan dua belas panduan, iaitu:
  • Mendengar kata mereka.
  • Berdiri apabila mereka berdiri kerana menghormati.
  • Taat perintah mereka selagi mereka tidak menyuruh membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.
  • Tidak melintas di hadapan mereka, tetapi hendaklah berjalan di sisi atau di belakang kecuali atas perintah mereka untuk sesuatu maksud.
  • Tidak meninggikan suara melebihi suara mereka.
  • Menjawab panggilan mereka dengan suara yang lembut.
  • Sentiasa memelihara dan merawat apabila mereka sakit. Jangan sampai melakukan sesuatu yang melanggar keredhaan mereka baik dalam sikap, perkataan ataupun perbuatan.
  • Merendah diri dengan sopan dan lemah lembut serta sentiasa berusaha meringankan beban mereka.
  • Tidak melakukan sesuatu kebaikan kepada mereka atas dasar membalas jasa melainkan atas dasar kewajipan demi keredhaan mereka dan keredhaan Allah S.W.T.
  • Tidak memandang mereka dengan menjeling, mengerling, marah atau masam muka.
  • Tidak bermuram hati apabila menghadapi wajah mereka.
  • Tidak keluar rumah sama ada jauh atau dekat kecuali dengan izin mereka.

12. Memupuk Kasih Sayang Dan Toleransi Dalam Keluarga
Banyak cara boleh dilakukan bagi mewujudkan perasaan kasih sayang dan semangat toleransi di dalam keluarga. Cara utama ialah melalui pengetahuan dan didikan agama yang cukup. Selain melalui pendidikan secara formal yang diterima di sekolah-sekolah, setiap ahli keluarga perlu dibentuk dan ditanamkan dengan perasaan kasih sayang dan semangat toleransi melalui tunjuk ajar, contoh teladan, nasihat dan kaunseling serta kawalan yang berkesan.
Mereka bukan sahaja disuruh supaya sayang  menyayangi sesama ahli keluarga, malah juga kepada binatang peliharaan dan harta benda di rumah. Mereka hendaklah selalu diberi ingat bahawa Allah sangat suka kepada orang-orang yang mempunyai perasaan kasih sayang, suka bekerjasama dan tolong-menolong sesama sendiri.
KESIMPULAN

Rumahku Syurgaku adalah satu wawasan Islam yang berteraskan ajaran yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Rumahtangga sebagai satu komponen utama dalam pembentukan sesebuah masyarakat mesti disempurnakan melalui piawai yang sesuai dengan ajaran Islam dan keperluan rohani dan jasmani manusia. Untuk mencapai taraf syurga bagi sesebuah rumahtangga, maka semua rukun atau piawai yang disebutkan perlulah dipenuhi dengan sebaik mungkin. Ia tidak memerlukan perancangan yang rapi dan sikap positif untuk melaksanakannya. Setiap yang gagal memenuhi rukun-rukun dan piawai-piawai tersebut, maka rumahtangganya belumlah dapat mencapai tahap kebahagiaan sebagaimana yang dituntut oleh Islam.





0 Comments
Comments

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meberikan komen anda disini