:: A|-C@pac|nO ::

Perkongsian Seorang Aku | Apalah ertinya penulisan kalau x d baca, Apalah ertinya ilmu kalau x dikongsi..

Saturday, February 11, 2012

13 Wasiat Rasulullah kepada Saiyidina Ali

Artikel ini dikongsi oleh




13 Wasiat Rasulullah kepada Saiyidina Ali

IBNU ABBAS ra meriwayatkan bahawa Ali Abu Talib berkata : "Pada hari
perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah SAW bersabda kepada ku, mengutarakan
tiga belas wasiat khusus untuk ku".



1. Hai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam)
tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barangsiapa memasuki
tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia akan mendapat laknat.



2. Hai Ali, janganlah engkau memakai cincin di jari telunjuk dan di jari
tengah. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.



3. Hai Ali, sesungguhnya Allah mengkagumi hambanya yang melafazkan
istighfar; "Rabighfirli fainahu Iayaghfirul-zunuba illa Anta" (Tuhan ku
ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan
engkau). Allah lalu berfirman, "Hai malaikat Ku, sesungguhnya hamba Ku ini
mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Ku. Hai
malaikat Ku, jadilah saksi bahawasanya Aku telah mengampunkan dia".



4. Hai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu
menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta).
Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah
sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidiq (benar) itu berkat dan
kazzab (dusta) itu celaka.



5. Hai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba.
Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya siksaan kubur
dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.



6. Hai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, samada dusta
atau benar, kecuali dalam keadaan dharurah, dan janganlah jadikan Allah
permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak mensucikan dan tidak
mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan namaNya.



7. Hai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok.
Bahawasanya Allah Taala mendatangkan rezeki engkau setiap hari.


8. Hai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi
dengan maki-hamun dan sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada
awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.



9. Hai Ali, senantiasalah engkau bersugi dan mencolek gigi. Bahawasanya
bersugi itu mensucikan mulut, mencerahkan mata dan diredhai Allah, manakala
mencolek gigi itu dikasihi oleh Malaikat kerana Malaikat amat tidak senang
dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak dicolek
selepas makan.



10. Hai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa
marah duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran
Allah Taala ke atas hambaNya. Pertahankanlah diri engkau daripada dikuasai
oleh kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.



11. Hai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurnia Allah yang telah engkau
nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau perolehi
peruntukan daripada Allah.



12. Hai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan
juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau
maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah
berlaku adil dalam memberi hukuman. Dengan itu engkau dikasihi seluruh isi
langit dan bumi.



13. Hai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran)
sekampung dan di antara ahli rumah mu. Hiduplah dengan mereka sekaliannya
dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang
tinggi bagi engkau.



"Hai Ali, peliharakanlah pesanan ku (wasiat ku). Engkau akan perolehi
kemenangan dan kelepasan. InsyaAllah".

* Semoga ini semua akan menjadi peringatan buat kita semua. InsyaAllah.
0 Comments
Comments

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meberikan komen anda disini