:: A|-C@pac|nO ::

Perkongsian Seorang Aku | Apalah ertinya penulisan kalau x d baca, Apalah ertinya ilmu kalau x dikongsi..

Saturday, February 11, 2012

Chatting ; indah bersama padah

Artikel ini dikongsi oleh




Motivasi oleh: DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj 


Ramai orang suka chatting untuk memenuhkan masa lapang. Ramai juga orang yang menjadikan chatting hobi baru dalam hidupnya. Chatting telah mula menjadi budaya anak-anak muda malah orang dewasa yang kerap berasa sunyi. 


Awas, jangan terperangkap dalam dunia chat. Chatting itu indah tetapi kita tidak pernah tahu siapakah sebenarnya orang di hujung sana. Kata-katanya mungkin menawan, maka kita pun terbayangkan wajahnya yang tenang seperti yang selalu kita idam-idamkan, hakikatnya kita tidak pernah tahu siapakah dia sebenarnya. Boleh jadi buaya besar atau sang penipu yang sedang melemparkan banyak umpan, dan anda adalah salah seorang daripada mangsa-mangsanya. 


Oh, dia telah menghantarkan wajahnya melalui internet untuk tatapan anda, maka anda amat pasti dia memiliki wajah yang menarik dan boleh dipercayai. Awas, siapa tahu itu bukan wajahnya yang sebenar. Kamera juga boleh menipu. Orang yang tidak cantik boleh menjadi fotogenik di hadapan kamera. Orang yang tidak tampan boleh kelihatan mancho. Kamera digital boleh melakukan semua perkara. Malah kecanggihan IT boleh meletakkan kepala artis terkemuka di atas badan orang lain. Jangan terperangkap oleh enaknya buaian kata-kata. Selagi namanya dunia siber kita memang patut berasa sangsi walaupun untuk percaya terus itu hak peribadi. 


Tidak sedikit aduan yang saya terima daripada para wanita yang akhirnya menjadi mangsa alam tak nampak tapi mesra. Apa lagi kalau bukan chatting. Membaca tulisannya anda khayal dan tenggelam dalam imaginasi liar. Anda membayang-bayangkan kalau begitulah hebat kata-katanya dia tentu seorang yang prihatin, penyayang dan boleh diharap. 


Hakikatnya, ramai wanita menjadi mangsa si penipu yang hanya bermodalkan kata tanpa wajah. Seorang wanita memberitahu saya dia jatuh cinta dengan seorang rakan chatters, akhirnya bertemu dan hampir bernikah. Tahu-tahu lelaki itu suami orang yang telah beranak pinak. Tatkala rahsia ini pecah, perasaan cintanya sudah membukit, dia tidak mampu berpisah lagi. 


Maka hubungan itu diteruskan dan akhirnya berkahwin. Sebaik sahaja perkahwinan dilangsungkan masalah pertama telah mula menampakkan wajah. Seterusnya, adalah hari-hari yang penuh derita dan air mata. 


Bukanlah pula maksudnya saya hendak melarang anda memperalatkan dunia chatting untuk membina jodoh, tapi hati-hati. Berhati-hati sentiasa lebih baik daripada ikutkan hati. Jangan korbankan apa-apa sehingga anda bertemu muka dengannya. Ramai wanita sanggup menyerahkan wang pada rakan chatting kerana terpengaruh dengan pelbagai cerita. Usah terlalu mudah lemah hanya oleh rayuan dan kata-kata sedih sehinggalah anda benar-benar kenal siapa dia. 


Berchatting itu best, samalah seperti kita bermain SMS. Tapi awas, apabila anda mula menerima gambar dirinya melalui alam siber, sentiasa ingat gambar tidak selalunya mempamerkan rupa sebenar. Ramai orang terkejut melihat saya sepanjang pagi Selasa di TV1 pada bulan April lepas. Lain sangat wajah Dr. Tuah, sehingga ibu saya sendiri sewaktu kami berbual melalui telefon mengatakan, Sebab apa badan engko besor sangat dan kepala jadi kecik? Susahnya hendak saya menjelaskan. Tapi itulah mainan kamera. 


Jika ia diletakkan terlalu hampir dengan kita dan berada pada kedudukan lebih bawah daripada paras pinggang, wajah yang akan muncul di kaca tv ialah badan menjadi amat besar dan kepala kecil saja. Sebaliknya jika kamera terlebih tinggi melepasi kepala kita, kepala akan menjadi terlalu besar dan badan pula kecil sekali. 


Saya secara asli tetap begini. Secara asli orang itu juga berbeza dengan apa yang terpapar di skrin komputer. Dunia chatting indah tetapi bersamanya ada padah. Jika anda mendapat teman chatters yang kerap memujuk, merayu dan kadang-kala mengugut, dia mungkin berlindung di sebalik kecanggihan teknologi untuk menyembunyikan wajahnya yang sebenar. AWAS.
_________________
"WE ARE ALL SOMETHING, BUT NONE OF US IS EVERYTHING. " 
~HANYA BERSYUKUR, BERTAKWA, BERIMAN DAN BERSABAR SAHAJA AKAN BERKESUDAHAN DENGAN KEBAHAGIAAN DI DUNIA & AKHIRAT~
0 Comments
Comments

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meberikan komen anda disini