:: A|-C@pac|nO ::

Perkongsian Seorang Aku | Apalah ertinya penulisan kalau x d baca, Apalah ertinya ilmu kalau x dikongsi..

Wednesday, February 22, 2012

Pagi Yang Indah



Kita sebenarnya layak untuk memilih pagi bagaimana yang kita hajati. Sekiranya kita inginkan pagi yang indah dan membahagiakan maka bisikkan pada hati kita "Hari ini adalah hari yang paling indah". Lalu kita ke dapur untuk sarapan; hanya ada biskut kering dan kopi O semalam lalu katakan pada diri kita "Ada insan lain langsung tidak memiliki apa-apa untuk dimakan" tentunya kita akan mampu mensyukuri nikmat Allah untuk pagi kita yang membahagiakan itu. 

Kita lalu melangkah masuk ke kereta kita yang usianya hampir suku abad. Dengan lafaz Bismillah dan senyuman kitapun memutar suis untuk hidupkan enjin tetapi tidak ada bunyi enjin yang kedengaran. Kita cuba beberapa kali namun masih sunyi sepi. Ternyata kereta kita rosak lagi. Kitapun terpaksa ketempat kerja dengan bas. Katakan pada diri kita "Ada manusia yang tidak memiliki kaki untuk berjalan." Alangkah bahagianya kita yang hanya memiliki kereta tua dan selalu rosak. Ketika pulang dari kerja, kita singgah di ATM untuk keluarkan sedikit wang untuk baiki kereta tetapi apabila disemak bakinya wang yang kita ada hanya cukup untuk makan hingga hujung bulan lalu kita bersyukur masih memiliki walau sedikit dan kitapun katakan pada diri kita "Ada manusia yang hidup dikelilingi hutang dan terpaksa menempuhi bulan baru dengan keresahan dan berat hati". Alangkah bahagia dan indahnya hari baru yang sedang kita tempuhi.

Kita terlalu berutung berbanding manusia yang memilih pagi yang paling buruk. Bangun dengan keputus asaan. Celik saja mata terus mengeluh dan memarahi isterinya "Asyik-asyik sarapan nasi lemak, rasa dah muak. Tak ada ke sarapan lain." Kita melangkah keluar rumah dengan wajah muram. Kemuraman kita hilang semula apabila melihat kereta mewah pujaan hati kita. Sambil mengosok badan kereta sport berwarna kuning itu tiba-tiba senyuman kita semakin pudar dan terkeluar keluhan hati kita "Bilalah hutang kereta ni nak habis bayar, hutang kereta lama dulupun masih ada baki lagi hingga terpaksa buat refinance". Dengan penuh keresahan kita memandu ke tempat kerja. 2 KM sebelum tiba ditempat kerja kita mula merengus "Aduh! Tentu parking dah penuh dahla begitu tentu boss mengamuk lagi pagi ini kemudian..." Jiwa kita mengeluh untuk segala musibah yang belum menimpa hingga bibir kita tidak lagi mampu mengukirkan senyuman walaupun pada anak dan isteri kita sendiri.



Jadi pilihlah pagi bagaimana yang kita hajati. Pagi yang indah membahagiakan atau pagi yang paling membosankan dan penuh kekecewaan. Mungkin nampak mudah tetapi untuk memilih segalanya terletak pada keimanan kita pada Allah SWT. Setakat mana kita meyakini keangungan Allah beserta janji-janjiNya.



Artikel ini dikongsi oleh
0 Comments
Comments

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meberikan komen anda disini