:: A|-C@pac|nO ::

Perkongsian Seorang Aku | Apalah ertinya penulisan kalau x d baca, Apalah ertinya ilmu kalau x dikongsi..

Monday, November 28, 2011

Pilih Sarapan Yang Berkhasiat Setiap Hari


Sarapan yang baik akan menyediakan tenaga segera yang mencukupi untuk sel-sel otak berfungsi pada waktu pagi serta mengelakkan badan menjadi lesu dan jelas sekali ia tidak boleh diabaikan.Bagaimanapun, ramai yang memilih makanan atau snek yang kurang berkhasiat dan berkalori tinggi, yang juga adalah pilihan kurang bijak. Sesetengah percaya bahawa mereka boleh menggantikan sarapan pagi dengan mengambil kuantiti yang lebih banyak pada waktu tengah hari.
Malahan sesetengah juga berpendapat mereka boleh mengurangkan berat badan dengan cara tidak mengambil langsung sarapan pagi walhal mereka boleh mengekalkan berat badan ideal dengan menjaga pengambilan sarapan pagi yang kaya dengan protein dan serat.
Contoh kombinasi sarapan berkhasiat ialah telur rebus, sebiji buah oren dan semangkuk bijirin sarapan dengan susu rendah lemak atau sekeping roti penuh bijirin dengan mentega kacang, potongan lobak merah dan yogurt rendah lemak.

WANITA MUDA TAHU SARAPAN SIHAT
Secara umum, wanita Malaysia didapati yakin dan prihatin dengan kepentingan mengalas perut dengan sarapan pagi yang berkhasiat untuk diri dan anak.
Meskipun sebahagian besar wanita bandar adalah wanita profesional atau ibu bekerja, namun kesibukan mengimbang masa antara urusan tugas, rumah dan keluarga bukan alasan mengabaikan sarapan.
Rumusan tersebut dibuat berdasarkan tinjauan Bernama ke atas 10 wanita bekerjaya sama ada bujang atau ibu berusia antara 27 dan 33 tahun dan menetap sekitar Kuala Lumpur mengenai cara mereka memulakan hari masing-masing.
Contohnya, Norzaleha Midin, seorang pembantu tadbir Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yakin bahawa sarapan pagi sangat penting untuk kesihatan.
Beliau biasanya memilih bersarapan di kantin pejabat atau sekurang-kurangnya menjamah roti dan air Milo bagi melawan kesibukan waktu pagi.
Seorang pengurus program di Kolej PTPL Shah Alam, Haliza Baharudin, juga amat prihatin dengan keseimbangan khasiat dalam sarapan.
Berbeza dengan Norzaleha yang memperuntukan hujung minggu untuk bersarapan di luar bersama rakan, Haliza memilih untuk mencuba pelbagai resepi dengan menyediakan sendiri sarapan di rumah.
ALTERNATIF SARAPAN MUDAH
Seorang ibu kepada empat anak perempuan mengakui menu sarapan segera sebagai satu alternatif sarapan yang memudahkan.
Sesekali pada hari minggu, Hartini Yahya akan tunaikan permintaan anak untuk berkunjung ke restoran seumpama, sekaligus dapat bermesra dengan keluarga serta menghilangkan tekanan.
Menurut seorang ibu kepada dua anak kecil, melihat anak gembira memang cukup berbaloi asalkan mereka makan sarapan.
Tetapi pada hari lain, Penolong Setiausaha di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu akan memastikan anak dibekal sarapan yang dimasak sendiri setiap hari ke sekolah.
SARAPAN MASAKAN RUMAH
Kesibukan kerja sebagai Pegawai Perubatan tidak menghalang seorang lagi ibu muda untuk menekan akan kepentingan sarapan kepada anaknya yang berusia tujuh dan empat tahun setiap pagi sebelum ke sekolah.
Dr Rohaya Abdul Razak akan memastikan ahli keluarga bersarapan dengan makanan yang disediakan di rumah seperti bijirin dengan susu, telur atau bihun goreng dengan pelbagai ramuan.
Bagaimanapun, beliau sama sekali tidak akan membawa anak ke restoran makanan segera untuk bersarapan kerana menganggap makanan segera mempunyai kandungan lemak yang terlalu tinggi.
MINUM SUSU SETIAP PAGI
Rakannya, seorang pengurus syarikat telekomunikasi, Shakila Imran juga tegas enggan membenarkan anak makan makanan segera yang disifatkan terlalu berminyak dan tiada sayuran segar.
Beliau menolak untuk menjadikan makanan segera sebagai hadiah atau insentif sebaliknya lebih gemar memasak sendiri sekiranya anak meminta makanan segera seperti kentang goreng termasuk �hash brown�, burger dan nugget.
Anak beliau telah terbiasa dengan rutin menghabiskan susu yang disediakan setiap pagi sebelum ke sekolah atau tadika.
Ia cukup untuk mengenyangkan mereka sehingga waktu rehat sekaligus menyediakan khasiat seimbang yang penting sebagai permulaan hari yang baik.
Jika teringin untuk bersarapan di luar pada hujung minggu pula, beliau lebih selesa memilih kedai biasa seperti kedai mamak untuk menjamu makanan seperti tosei atau capati, yang kurang berminyak.
BANTU PERKEMBANGAN MINDA
Khasiat seimbang dari sarapan telah terbukti memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan minda dan sahsiah manusia terutama bagi kanak-kanak.
Satu daripada kajian yang menyentuh isu tersebut ialah “Relationship Between Hunger and Psychosocial Functioning in Low-Income American Children,” yang disiar dalam ‘Journal of the American Academy of Child and Adolescent Psychiatry’ pada Februari 1998.
Ia membuktikan bahawa pelajar sekolah yang bersarapan setiap pagi mendapat keputusan yang lebih baik dalam ujian standard, bersikap lebih sopan dan kurang hiperaktif berbanding tanpa sarapan.
Bagaimanapun sarapan yang manis seperti bijirin sarapan bergula, penkek dan sirup maple, biskut cip coklat perlu dielak kerana ia akan menyebabkan mereka cepat lapar, mudah meragam dan makan lebih banyak pada waktu tengah hari.
Sama seperti kanak-kanak, pelajar dan orang dewasa juga menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam akademik dan kerja sekiranya memperoleh sarapan yang baik.
UNIVERSITI GALAK PELAJAR BERSARAPAN
Kepentingan sarapan berkhasiat terhadap pencapaian akademik, sebagai contoh, dapat dilihat menerusi keprihatinan University John Hopkins melalui satu pekeliling kepada pelajar.
Ia menggesa semua pelajar untuk makan sarapan pagi setiap hari malah mencadangkan saranan sarapan segera berkhasiat termasuk,
a) Menggalakkan pelajar memilih dua atau tiga hidangan yang merangkumi sekurang-kurangnya satu daripada kumpulan makanan berikut:
- Roti atau bijirin seperti roti bakar, muffin – Susu atau produk tenusu seperti yogurt rendah lemak
- Buah atau sayuran seperti pisang, epal dan potongan lobak
a) Amalkan membeli makanan yang boleh dijadikan sarapan segera seperti buah-buahan, yogurt, bar granola atau lain-lain bijirin berserat tinggi semasa membeli-belah.
b) Jadikan minum segelas jus oren atau susu sebagai rutin menggantikan amalan minum kopi pada waktu pagi.
c) Telur boleh disediakan dengan cepat dengan pelbagai cara seperti digoreng, rebus, dadar dan seumpama.
– BERNAMA


Artikel ini dikongsi oleh
0 Comments
Comments

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meberikan komen anda disini